2025-09-19

Raikan tradisi, kemodenan di ‘Raya Dulu & Kini’ Central i-City 2025!

SHAH ALAM– Central i-City dengan gembiranya meraikan hari raya dengan tema ‘Raya Dulu & Kini’, dari 8 Mac hingga 13 April di mana para pengunjung boleh menikmati gabungan aktiviti tradisional dan moden, menghayati warisan kaya Malaysia sambil meraikan perayaan dengan gaya masa kini.

Bazaar Raya dan sokongan kepada PKS

Lebih daripada 70 peniaga akan menyertai Bazaar Raya yang berlangsung dari 20 Februari hingga 30 Mac. Bazaar ini menjadi platform bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempamerkan produk mereka, sekaligus memberi sokongan kepada perniagaan tempatan sepanjang musim perayaan.

Inisiatif komuniti

Sejajar dengan komitmen ‘kembali kepada masyarakat’, Central i-City akan mengagihkan pek makanan kepada 20 keluarga kurang berkemampuan dan ibu tunggal di kawasan Shah Alam sepanjang musim Raya.

Inisiatif ini selaras dengan falsafah pusat membeli-belah dalam memperkukuhkan semangat menghulurkan bantuan, terutama ketika musim perayaan.

Majlis pembukaan acara ‘Raya Dulu & Kini’ Central i-City itu telah dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Dalam ucapannya, beliau mengiktiraf usaha Central i-City dalam menganjurkan sambutan yang menyatukan komuniti.

Beliau menekankan bagaimana acara seperti itu membolehkan masyarakat dari pelbagai latar belakang etnik untuk menghayati dan menghargai budaya Melayu.

Dengan persembahan tradisional, hiasan perayaan dan aktiviti interaktif, para pengunjung dapat menyelami warisan hari raya sambil menikmati elemen moden perayaan hari ini.

Inisiatif seperti ini bukan sahaja memelihara tradisi budaya, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia.

Memperkasa usahawan dengan Dana Usahawan Madani Selangor

Dalam acara ini, Mohd Najwan turut menekankan kepentingan menyokong perniagaan PKS, terutama ketika musim perayaan.

Beliau menggalakkan para usahawan tempatan untuk memanfaatkan Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS), satu inisiatif pembiayaan yang bertujuan membantu perniagaan berkembang dan berjaya.

“Dengan adanya Bazaar Raya di Central i-City yang memberi platform kepada lebih 70 peniaga dan peluang seperti ini membolehkan perniagaan mereka berkembang, menarik pelanggan baharu, dan merancakkan ekonomi tempatan.

“Usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka boleh meneroka DUMS, yang menawarkan bantuan kewangan, latihan, dan sumber untuk menyokong pertumbuhan mereka,” katanya.

DUMS ialah inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka. Program ini menyediakan bantuan dalam bentuk peralatan atau kelengkapan perniagaan bernilai sehingga RM30,000.

Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM2 juta untuk bantuan DUMS.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Central i-City, Alfred Chua berkata, tema Hari Raya tahun ini, ‘Raya Dulu & Kini,’ sebagai meraikan kedua-dua elemen tradisi dan kemodenan.

“Ia mengingatkan kita untuk menghargai warisan budaya kita, daripada nostalgia balik kampung, kuih raya buatan tangan hingga kepada cahaya pelita tradisional. Tradisi-tradisi ini membawa kembali kenangan manis zaman dahulu, di mana keluarga berkumpul di kampung halaman, menyediakan juadah sendiri, dan menikmati kesederhanaan raya.

“Pada masa yang sama, kita turut menerima perubahan zaman dengan pusat membeli-belah yang dihias indah, ucapan digital Hari Raya, dan trend fesyen kontemporari. Teknologi dan perubahan gaya hidup telah mengubah cara kita berhubung dan meraikan, menjadikannya lebih mudah untuk berkongsi semangat perayaan dengan insan tersayang, tidak kira dekat atau jauh,” katanya.

Beliau berkata, walaupun zaman berubah, semangat hari raya tetap sama. Semangat kebersamaan, perjumpaan keluarga dan kegembiraan memberi tetap menjadi inti pati perayaan ini, mengingatkan kita bahawa sama ada dulu atau kini, makna raya tetap istimewa.

“Kami telah merancang pelbagai aktiviti untuk komuniti, termasuk bengkel, persembahan budaya, dan pertandingan.

“Central i-City komited untuk menjadi tempat di mana masyarakat boleh berkumpul, meraikan, dan menikmati pengalaman membeli-belah yang hebat,” jelas Alfred.

Mencapai Kadar Penghunian 95 peratus

Ujar beliau lagi, Central i-City juga meraikan pencapaian luar biasa dengan kadar penghunian 95 peratus.

Katanya, pusat membeli-belah berkenaan berharap dapat menyambut lebih ramai peruncit menyertai perniagaannya sepanjang tahun ini. Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan daripada rakan kongsi serta pelanggan setia.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan, sekolah, dan rakan kongsi kami kerana menjayakan perayaan ini.

“Dedikasi dan kerjasama anda menghidupkan acara seperti ini, dan kami amat menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi,” kata Alfred.

Barisan acara menarik di Central i-City sempena raya!

Sepanjang sambutan hari raya yang penuh kemeriahan ini, Central i-City akan dipenuhi dengan aktiviti, pertandingan, dan persembahan menarik untuk semua peringkat umur.

Pertandingan Menarik:

Pertandingan Raya Bakat Star: Peluang untuk para bakat menunjukkan kebolehan mereka!

Pertandingan Fashionista Gaya Raya: Pamerkan pakaian Raya terbaik anda!

Pertandingan Mewarna Kreatif Raya: Aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak!

Pertandingan Tarian Raya Dulu Kini: Gabungan tarian tradisional dan moden!

Pertandingan Kompang Raya Dulu Kini: Memeriahkan suasana dengan paluan kompang!

​Persembahan alat muzik tradisional:

Gamelan Ria: Caklempong Harmoni

Suara Serunai: Gema Akordion

Tarian Tradisional Melayu

Persembahan Kompang Rentak Kampung

Raya Acapella: Raya Live Band

Harmoni Kota: Tarian Riang Kampung Celebration Dance

Hadiah Eksklusif Raya

Dari 8 Mac hingga 13 April, pelanggan yang berbelanja di pusat membeli-belah boleh menebus hadiah eksklusif Raya:

- Belanja RM200: 1 set Sampul Raya

- Belanja RM700: 2 set Sampul Raya + 1 set Bekas Eksklusif

- Belanja RM5000: 3 set Sampul Raya + 1 set Teh Seramik Premium (*dengan maksimum 8 resit dalam hari yang sama)

Dengan pelbagai aktiviti menarik, Central i-City adalah tempat terbaik untuk menyambut Hari Raya bersama orang yang tersayang. Sertailah pertandingan yang membawa keseronokan, dan nikmati suasana perayaan yang meriah hanya di Central i-City.



Source: sinarharian.com.my

BACK