2023-10-02

Pemaju rancang kecilkan unit kediaman untuk kekalkan harga rumah

SHAH ALAM: Peningkatan kos bahan binaan seperti simen dan besi sehingga 30 peratus menjadi cabaran kepada pemaju perumahan untuk mengekalkan harga rumah.

Menurut Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Selangor Datuk Zaini Yusoff, bagi menyerap kenaikan kos terbabit, beberapa langkah akan diambil antaranya mengurangkan keluasan unit rumah yang bakal dibina.

“Dari segi keuntungan, memang kita sudah mengurangkan keuntungan kita.Malah, kita juga banyak melakukan kejuruteraan nilai(valued engineering) untuk mengekalkan harga rumah.Kita juga mungkin akan kurangkan penggunaan bahan-bahan yang mahal dengan menggunakan bahan yang lebih murah bagi membolehkan kita mengekalkan atau mengurangkan harga rumah”katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) Selangor Barat.

Dalam pada itu, hampir 80 peratus pembeli rumah terpaksa menolak tawaran pemilikan rumah berikutan masalah pembiayaan yang dihadapi.

Justeru, skim jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus untuk harga rumah bernilai sehingga RM300,000 membantu kumpulan B40 dan M40 yang ingin memiliki rumah.

Jelas beliau, skim itu membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman tanpa membebankan pembeli.

Source: https://www.buletintv3.my/deti...

BACK